KUASAI MAC ANDA

Luaskan Paparan dengan Sidecar

Jadikan iPad anda skrin kedua Mac anda.

Mac dan iPad anda ialah padanan yang sudah cukup hebat. Dengan ciri Sidecar dalam macOS dan iPadOS, ia akan jadi bertambah hebat bersama-sama.

App-app yang dioptimumkan untuk Sidecar menyerlahkan kehebatan kedua-dua peranti: Menganotasi PDF atau gambar skrin pada iPad anda dengan Apple Pencil, kemudian memasukkannya ke dalam dokumen pada Mac anda, ataupun menggunakan skrin iPad untuk melukis, menulis dan mengedit secara terus dalam app Mac.

Sidecar meletakkan Touch Bar maya di bahagian bawah skrin iPad anda.

Berikut ialah panduan ringkas untuk menggunakan Sidecar—dan barisan app yang dapat memanfaatkan ciri terbaharu ini.

Lakukan penyambungan

Bagi mendayakan Sidecar, buka Pusat Kawalan pada Mac anda, klik Paparan dan pilih iPad anda. (Dalam macOS Catalina, pilih iPad anda daripada menu AirPlay Mac anda.)

Itu sahaja!

Ciri ini berfungsi secara wayarles melalui Wi-Fi. Bagi mengecas iPad sambil melakukan kerja anda, sambungkannya pada Mac dengan kabel anda.

Anda akan menemui iPad anda dalam bahagian Paparan di Pusat Kawalan Mac anda. (Dalam macOS Catalina, ia berada dalam menu AirPlay.)

Secara lalai, iPad anda memaparkan desktop dan bar menu Mac anda, bar sisi Sidecar dan Touch Bar untuk app yang menyokongnya. Bagi mengalih atau menyahdayakan ciri ini, pilih Keutamaan Sidecar daripada bahagian Paparan di Pusat Kawalan. (Dalam macOS Catalina, pilih Buka Keutamaan Sidecar daripada menu AirPlay.)

Luaskan ruang anda

Mahu mengalihkan tetingkap dari Mac ke iPad anda—atau sebaliknya? Layangkan kursor pada bulatan hijau tetingkap itu, kemudian pilih opsyen yang bersesuaian.

Butang hijau melakukan lebih daripada sekadar memasuki skrin penuh. Klik dan tahan untuk melihat opsyen baharu yang tersedia.

Anda juga boleh mengalihkan Dock dalam Mac ke iPad anda. Hanya ketik butang Dock pada bahagian atas bar sisi iPad.

Dapatkan input

Apabila app Mac dipaparkan pada skrin iPad, anda boleh menggunakan gerakan yang biasa seperti mencubit untuk zum, atau menggunakan Apple Pencil sebagai pengganti tetikus atau trackpad untuk melukis, ketik, meleret dan banyak lagi.

Anda juga boleh menggunakan papan kekunci pada skrin iPad untuk menaip dalam app Mac—untuk mengeluarkannya, ketik ikon papan kekunci dalam bar sisi iPad anda.

Cerminkan Mac anda

Gunakan Apple Pencil dan iPad untuk melukis, melakar atau menandakan dokumen dalam sebarang app Mac. Hanya cerminkan skrin Mac pada iPad anda dengan memilih Cermin dalam bahagian Paparan di Pusat Kawalan. (Dalam macOS Catalina, pilih Cermin daripada menu AirPlay.)

Semua app Mac boleh digunakan dengan Sidecar, tapi ada juga yang menawarkan ciri khusus dan sokongan Apple Pencil. Berikut merupakan beberapa app untuk dicuba: