Walaupun banyak app boleh memainkan runut bunyi menenangkan (hingar putih, deraian hujan musim bunga), Endel membawakan lebih daripada itu: Ia menggubah karya muzik mendamaikan dalam masa yang singkat, mengikut tempat anda berada dan perkara yang anda lakukan.
Untuk melakukannya, app ini mengambil kira faktor masa dalam hari tersebut, tahap kecerahan cahaya di luar dan jika anda mengizinkannya, kadar denyutan nadi serta tahap aktiviti anda. Hasilnya? Latar bunyi diperibadikan yang menerapkan unsur alam dan muzikal dalam masa nyata, dihasilkan untuk anda oleh jurutera bunyi manusia yang menggabungkan seni dan sains.

Latar-latar bunyi itu—Focus, Relax, On-the-Go, dan Sleep—berkembang bersama anda sepanjang hari. Jika anda membaca di sofa kemudian berjalan sebentar di luar rumah, audio akan menangkap warna bunyi dan temponya. Apabila anda kembali ke meja kerja, muzik akan menekankan unsur fokus. Apabila anda bersiap untuk tidur, muzik akan beransur-ansur menjadi semakin damai bersama anda.
Apple Watch anda menjadikan proses itu lebih semula jadi—dan meletakkan simfoni futuristik app (orang kami memanggilnya "muzik generatif") terus ke pergelangan tangan anda dengan menggunakan antara muka monokromatik elegan yang mirip app iOS.
Endel menghabiskan tahun ini dengan mengembangkan sudut artistiknya. Pada musim luruh ini, ia melancarkan kolaborasi sulung bersama pemuzik inovatif Grimes, yang mencipta aneka rangkap audio baharu bagi algoritma Endel bagi menggarap lebih banyak alunan asli yang mendamaikan.
Sama ada anda perlu bersantai, tidur atau fokus, Endel menawarkan senarai main yang tidak terkira banyaknya.